Doa Selamat mohon perlindungan, keselamatan bakal jemaah haji




Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohammad Hasif Matzin





JERUDONG, Jumaat, 1 Mei. - Bagi meraikan bakal-bakal jemaah haji yang akan menunaikan ibadat haji pada Musim Haji Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi dan juga memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar semua jemaah haji sentiasa berada dalam lindungan dan keselamatan serta dipermudahkan segala urusan sepanjang melaksanakan Manasik Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Urusan Haji (JUH) mengadakan Majlis Doa Selamat dan Ramah Mesra Bersama Bakal-bakal Jemaah Haji Tahun 1447H / 2026M pada petang tadi, bertempat di Dewan Banquet Bridex, Jerudong, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman dan Datin.


Sejurus ketibaan Menteri Hal Ehwal Ugama berserta Datin, atur cara dimulakan dengan Sesi Ramah Mesra Yang Berhormat dan Datin bersama bakal-bakal jemaah haji bagi Tahun 1447H / 2026M.


Acara diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam, Awang Abdul Muhaimin bin Dr. Haji Serbini, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Urusan Haji, JUH, KHEU, Awang Haji Abdullah bin Haji Mohamad.


Seterusnya, diikuti dengan ucapan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama yang antara lain menekankan mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pihak pengurusan jemaah haji Negara Brunei Darussalam (NBD) untuk menyempurnakan urusan-urusan jemaah haji mengikut garis masa yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi.


Jelas Yang Berhormat lagi, pada tahun ini, NBD telah dipilih oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai salah sebuah negara yang akan menerima manfaat pelaksanaan 'Makkah Route Initiative' yang bertujuan untuk memudahkan dan mempercepatkan proses kemasukan jemaah haji negara ke Arab Saudi, iaitu melalui penyempurnaan prosedur imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB).


"Penekanan turut diberikan kepada persediaan jemaah melalui kursus Manasik dan penjagaan kesihatan serta nasihat agar sentiasa mematuhi peraturan, menjaga imej negara, bersabar dan memanfaatkan peluang sebagai Tetamu Allah," jelas Yang Berhormat.


Yang Berhormat seterusnya menasihatkan bakal-bakal jemaah haji untuk sentiasa mematuhi pelan kontigensi serta semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan haji negara jika berlaku sebarang kecemasan semasa berada di Tanah Suci.


Juga hadir, Bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke NBD, Tuan Yang Terutama Saleh Abdulkarim Al-Shiha; Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan isteri; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar dan isteri; serta pengarah-pengarah urusan dan wakil-wakil syarikat pengendali perkhidmatan pakej haji dan umrah bagi musim haji 1447H / 2026M.


Pada tahun ini, seramai 1,000 bakal jemaah haji negara akan menunaikan ibadat haji ke Tanah Suci.


Manakala tujuh buah syarikat pengendali perkhidmatan pakej haji dan umrah yang beroperasi mengendalikan haji bagi Musim Haji tahun ini, iaitu Darussalam Services Sdn. Bhd.; Straits Central Agencies Sdn. Bhd. (SCA); At-Taqwa Travel Tours Sdn. Bhd.; Dar El-Ehsan Travel Sdn. Bhd.; Al-Hijrah Travel and Tours Sdn. Bhd.; Titian Travel and Tours Sdn. Bhd.; dan Balurih Travel Sdn. Bhd.


Bakal-bakal jemaah haji NBD pada Musim Haji 1447H / 2026M dijadualkan bertolak ke Tanah Suci dalam empat penerbangan, iaitu pada 16, 17, 18 dan 19 Zulkaedah 1447H bersamaan 4, 5, 6 dan 7 Mei 2026M, jam 10.15 pagi.


Close